Dua sahabat maut dirempuh kereta terbabas

Dungun: Dua sahabat maut selepas dirempuh dan diseret sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 18, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) dekat Ketengah Jaya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, Kamariduan Mohamed, 41, dari Kampung Limbung Paka maut di tempat kejadian, manakala Mohd Rosdi Yaakob, 48, dari Ketengah Jaya meninggal ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, kira-kira 7 petang.


Kedua-duanya parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, Kamariduan yang juga seorang peniaga sayur dikatakan sedang menunggu bekalan sayur daripada penduduk di kampung itu.





Menurutnya, mangsa dikatakan bertemu dengan Mohd Rosdi yang bekerja di sebuah kedai peralatan dan berbual berhampiran gerai yang terletak di tepi jalan.

“Secara tiba-tiba sebuah kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah AMBS ke Paka dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu merempuh gerai terbabit sebelum merempuh kedua-dua mangsa.





“Rempuhan kuat menyebabkan mangsa serta gerai terbabit diseret sejauh kira-kira 20 meter,” katanya.

Bagaimanapun katanya, peniaga gerai terbabit terselamat kerana pulang ke rumahnya untuk solat.

“Pemandu kereta berkenaan hanya cedera ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.