Batalkan konsert 2016, Afjets minta Search bayar hutang pampasan

PETALING JAYA – Syarikat Afjets Sdn. Bhd. (Afjets) meminta kumpulan rock terkenal tanah air, Search melangsaikan segera tuntutan ganti rugi khas berjumlah hampir RM500,000 susulan kes mahkamah kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka pada 2016.

Konsert Search 35 Tahun pada mulanya yang bakal diadakan di Stadium Merdeka pada 9 April 2016 ini terpaksa ditunda ke 31 Ogos atas faktor keselamatan iaitu selepas mengambil kira faktor keselamatan penonton berikutan beberapa projek pembinaan yang ketika ini dijalankan di sekitar Stadium Merdeka. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih menjadi lokasi baharu.

Afjets sepatutnya menaja dan menganjurkan Konsert Search 35 Tahun, namun dibatalkan oleh anggota kumpulan rock itu. Notis pembatalan tersebut telah dihantar melalui peguam Search, Yusmadi Yusoff daripada Fahda Nur & Yusmadi pada 19 Mei 2016.



Search merasakan penganjur tidak bersikap profesional dengan menimbulkan isu Memorandum Persefahaman (MoU) yang dianggap boleh merosakkan reputasi kumpulan Search.

Search juga tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif AFJETS, Amrul Nizar Anuar kepada media mengelirukan dan boleh menyebabkan fitnah kepada pihak Search terutama dalam kenyataannya mengenai penyingkiran Yazid daripada terlibat dalam Konsert 35 Tahun tersebut.

Pada Oktober 2016, Syarikat Afjets Sdn Bhd memfailkan saman RM494,000 terhadap empat anggota kumpulan rock Search, berhubung sidang media dan pembatalan Konsert 35 Tahun Search.

Syarikat Afjets selaku plaintif, memfailkan writ saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, hari ini, melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates.

Syarikat itu menamakan empat anggota kumpulan itu iaitu Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abd Rahman; Noordin Mohd Taib, Hamzah Mohd Taib dan Nasir Daud, sebagai defendan pertama hingga keempat.





Susulan pembatalan konsert tersebut, Afjets kemudian mengambil tindakan mahkamah terhadap Search dan pada 18 Ogos 2017, tiga anggota kumpulan itu iaitu Nasir Daud, Noordin Mohd. Taib (Din) dan Hamzah Mohd. Taib (kid) diarahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membayar ganti rugi khas.

Afjets juga diputuskan berhak menerima ganti rugi am yang belum ditafsirkan, dijangka tidak kurang daripada RM1 juta.

Bagaimanapun atas nasihat peguam, Afjets tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi asal Search iaitu Suhaimi Abd. Rahman atau Amy pada masa itu kerana beliau telah muflis.

Afjets juga difahamkan ketika ini, pemain bass kumpulan itu iaitu Nasir turut muflis.

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penganjuran dua konsert berasingan iaitu Search Endemik dan Rockin’ On The Rooftop baru-baru ini yang dijayakan oleh anggota dan bekas anggota kumpulan itu yang kini bergerak secara berasingan. ‘

Malah pihak Afjets turut mengambil perhatian tentang pengumuman pengurusan Search yang dianggotai Din dan Kid mengenai siri konsert jelajah Malaysia, Singapura dan Indonesia yang dijadual berlangsung antara Ogos depan hingga Mac 2023.





Pihaknya terkejut dan memandang serius pengumuman tersebut kerana sehingga kini, selepas hampir lima tahun, mereka masih lagi menunggu maklum balas daripada Search mengenai keputusan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Justeru, Afjets akan mengambil langkah wajar dalam masa terdekat untuk melaksanakan keputusan mahkamah bagi mendapatkan pampasan sebanyak hampir setengah juta dan ganti rugi am yang belum ditaksir.

Hal ini, Afjets sudah memberi tempoh yang lama untuk Search mengatur semula kedudukan kewangan mereka dan beranggapan penganjuran dua konsert berasingan baru-baru ini serta pengumuman jelajah membayangkan kumpulan itu sudah kembali ke landasan sekali gus boleh melunaskan segala komitmen kewangan yang tertunggak.

Afjets juga sudah mengarahkan peguamnya untuk melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017 termasuk berhubung dengan pihak pengurusan Search sekarang.