4 penyelam warga asing hilang, syarikat bot didenda RM5,000

Mersing: Pengusaha resort dan bot penumpang mengaku bersalah dan dihukum denda sebanyak RM5,000 di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, hukuman ke atas syarikat Winter Snow Sdn Bhd dilakukan mengikut Kaedah 12 Peraturan Bot 1953.



Katanya, tertuduh melakukan kesalahan kerana beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi sebagaimana disyaratkan oleh Pegawai Pelabuhan.

“Maritim Malaysia, Zon Maritim Mersing telah mendakwa pemilik resort dan bot penumpang yang terbabit dalam kejadian empat penyelam warga asing yang hilang pada April lalu di Mahkamah Majistret Kota Tinggi semalam.

“Pada 6 April lalu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika membuat latihan selaman di perairan Tokong Sanggol dan tiga daripadanya berjaya ditemui, manakala seorang penyelam remaja lelaki tidak ditemui.





“Susulan daripada kejadian itu, Zon Maritim Mersing membuat siasatan lanjut ke atas pengusaha resort dan bot serta pengendali bagi mengenal pasti punca kemalangan atau kecuaian yang berlaku.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, sewaktu hari kejadian, bot tidak dikendalikan dengan kru yang mencukupi sebagaimana yang dikehendaki oleh Pegawai Pelabuhan di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan.





Katanya, wakil pengusaha resort dan bot hadir tanpa diwakili peguam manakala pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Maritim Malaysia Azlan Bohari di hadapan Majistret Rashida Baharom.

“Tertuduh mengaku bersalah dan menjelaskan bayaran denda sebanyak RM5,000,” katanya.

Katanya, Maritim Malaysia menasihatkan dan mengingatkan kepada semua pengusaha resort dan bot penumpang untuk mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.