[VIDEO] Polis kejar lelaki didakwa larikan isteri orang

MANJUNG – Polis berjaya menahan seorang lelaki didakwa bertindak melarikan isteri orang menaiki sebuah kereta dalam satu aksi kejar di bandar Seri Manjung di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, suspek berusia 31 tahun berjaya diberkas selepas cuba melarikan diri dengan memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah restoran.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, berlaku pergelutan antara anggota polis dan suspek sebelum lelaki itu berjaya ditahan.


Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek telah meminta bantuan daripada wanita berusia 34 tahun yang dikenali melalui aplikasi Wechat itu untuk mengambilnya di sebuah bangunan penginapan dalam daerah Manjung.

Katanya, wanita yang bekerja sebagai juruwang itu kemudiannya meminta suami untuk mengekorinya secara berasingan kerana bimbang akan keselamatan diri.

“Semasa tiba di lokasi, suspek menyedari kehadiran suami wanita itu dan meminta untuk memandu kereta terbabit dengan alasan ada orang sedang mengejarnya.

“Lelaki itu beranggapan suami wanita terbabit adalah pemungut hutang kerana suspek sebelum ini telah beberapa kali melarikan diri atas masalah hutang yang masih belum dijelaskan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Nor Omar berkata, suspek didapati memandu kenderaan itu secara berbahaya menghala ke Seri Manjung dan enggan berhentikan kenderaan apabila diarahkan polis peronda.





Ujarnya, suspek juga bertindak memandu melawan isyarat lalu lintas dan melanggar sebuah kenderaan peronda polis yang menghalangi jalan bagi memberhentikan kenderaan itu.

“Tiba di hadapan sebuah restoran, suspek telah memberhentikan kereta dan cuba mengambil sebuah motosikal yang berada di sana, namun tidak berjaya menyebabkan suspek bertindak masuk semula ke dalam kereta.

“Polis yang tiba cuba menahan suspek, namun berlaku pergelutan sebelum berjaya menahan suspek,” katanya.

Beliau berkata, semakan dibuat mendapati, suspek tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dalam kesalahan penyalahgunaan dadah.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing juga didapati suspek, positif dadah jenis methaphetamine.

“Suspek akan direman bagi siasatan kes di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan wanita yang bersuami dengan niat jenayah.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.





Aksi kejadian kejar membabitkan kereta dipandu suspek dengan kenderaan polis itu tular dalam media sosial.

Menerusi rakaman video tersebut, kenderaan suspek enggan memberhentikan kereta meskipun telah diarahkan polis.