[VIDEO] Polis cari pemandu BMW lagak samseng

SHAH ALAM – Polis sedang mengesan pemandu kereta BMW yang memandu secara berbahaya dan membuli pengguna lain di Kilometer 10 Lebuhraya Persekutuan Isnin lalu.

Kereta itu menggunakan nombor pendaftaran Negeri Johor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kertas siasatan telah dibuka selepas video yang memaparkan insiden itu tular di media sosial kira-kira jam 10 pagi.


“Dalam rakaman itu, kereta BMW berwarna putih kelihatan brek secara mengejut beberapa kali dan dengan sengaja berhenti di lorong kiri serta mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Suspek dipercayai bertindak demikian untuk menahan sebuah lori seperti yang dipaparkan dalam video tular berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.

Tambah beliau, siasatan lanjut berkaitan insiden itu masih dijalankan oleh polis. Setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung video tersebut.





Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak ditalian 019-4475767.

Kes sedang disiasat polis di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Iqbal juga memberitahu, IPD Shah Alam sudah meminta bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor untuk mengesan alamat pemilik kereta berkenaan di kawasan Johor Bahru Selatan (JBS).

“Bagaimanapun, pemilik kereta berkenaan memaklumkan kenderaan (viral) itu, sudah lama dijual kepada pihak ejen pada bulan Disember tahun lalu dan dia juga telah membuat laporan penafian memandu kenderaan BMW itu di IPD JBS,” tegasnya.





Bukti dokumen jual kereta berkenaan juga telah diperoleh oleh polis dan penjual kereta terpakai tersebut juga telah dikesan.

“Setakat maklumat yang ada sehingga kini, pihak ejen kereta terpakai itu telah jual kenderaan itu pada sebuah syarikat perniagaan sewa kereta.

“Esok mereka akan hadir ke Pejabat Trafik IPD Shah Alam untuk beri keterangan beserta dokumen urusan jual beli kereta BMW yang viral itu,” ujarnya.