Remaja lelaki hilang di Cheras jumpa di Kedah

KUALA LUMPUR – Susulan tular kisah mengenai seorang remaja lelaki, Muhammad Al Muizz Al Mawardi, 16, yang dilaporkan hilang selepas menunaikan solat subuh di Masjid Al Muqarrabin, Cheras pada Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat.

Perkara itu disahkan oleh bapa remaja berkenaan, Almawardi Mohamad, 41, yang memaklumkan anaknya ditemui selamat oleh pihak polis pada pukul 12 tengah malam tadi di Pokok Sena, Kedah.



Almawardi turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyiarkan kisah kehilangan anaknya di semua platform media sosial.

“Terima kasih kepada semua pihak yang dan bantu, anak saya sudah ditemui berkat doa dan bantuan semua orang, banyak media bantu menyiarkan kisah kami. Alhamdulillah,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.





Almawardi bagaimanapun tidak dapat menceritakan kejadian tersebut dengan lebih terperinci kerana kes tersebut dalam siasatan polis.

“Maklumat lain tidak boleh didedahkan sebab saya tak mahu mengganggu siasatan pihak polis ketika ini. Polis masih siasat bagaimana anak saya boleh berada di sana dan perincian yang lain,” jelasnya.




Tambahnya, anaknya kini sudah selamat bersama dengannya di rumah.

Menerusi laporan daripada Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, Muhammad Al Muizz Almawardi, 16, ditemui di sekitar daerah Pokok Sena di Kedah pada 11 Mei 2022 hasil maklumat dari orang awam.

Difahamkan remaja berkenaan dalam keadaan baik dan berada di rumah rakannya.