Remaja kena tinggal diselamatkan polis

Kuala Lumpur: Polis menyelamatkan remaja lelaki yang ditinggalkan di stesen minyak berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, di sini, malam tadi.

Pegawai Turus Penguatkuasa Zon Tengah A Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abd Razak berkata, ketika ditemui pada 10 malam di lokasi itu remaja berusia 13 tahun berkenaan dalam terpinga-pinga dan ketakutan.



Katanya, ketika ditemubual polis, remaja berkenaan memberitahu dia ditinggalkan oleh jiran yang menumpangkannya.

“Dia dalam keadaan terkejut seperti tidak percaya ditinggalkan di tepi Plaza Tol Duta.





“Budak itu didapati mengikut jiran satu taman perumahannya dengan pada mulanya diberitahu untuk ke kedai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Berdasarkan siasatan, katanya, lelaki itu bersama seorang wanita dari Setiawan Perak menghala Kuala Lumpur.

“Namun sampai di stesyen minyak berhampiran Plaza Tol Jalan Duta itu, penunggang motosikal berkenaan secara tiba-tiba melarikan diri tanpa sebab meninggalkan budak itu.





“Kami berjaya mengesan waris kanak-kanak itu yang berada di Taman Pelangi Setiawan, Perak.

“Sementara menunggu waris datang dari Setiawan kanak-kanak itu diserahkan kepada Balai Hartamas untuk dijaga,” katanya. – HMetro