Pemuda tidak mengaku tipu sewa tapak bazar Ramadan

Kuala Lumpur: Lelaki yang dikatakan menipu dengan menawarkan tapak bazar Ramadan untuk disewa di Stadium Bukit Jalil melalui Facebook dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohamad Nurul Akhbar Maula Yusof, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali, Noorelynna Hanim Abd Halim, Nadia Othman, Wong Chai Sia dan Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.


Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu lima individu terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia 24 hingga 35 tahun dalam urusan menawarkan sewa tapak bazar Ramadan di stadium berkenaan dan bazar Ramadan yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong kelima-lima mangsa menyerahkan wang antara RM1,500 sehingga RM2,700 dengan nilai keseluruhan kerugian berjumlah RM10,800.

Kesalahan dilakukan di beberapa premis di Cheras, Puchong dan Bukit Jalil di sini, antara 7 Februari hingga 30 Mac lalu.




Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam Muaz Al-Awwal Mohamad Zafarullah yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling rendah mengambil kira anak guamnya yatim piatu dan dipelihara keluarga angkat.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan berjumlah RM10,700 dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jun, 4 Julai dan 26 Julai depan.





Terdahulu dilaporkan, lelaki ditahan selepas didakwa menipu dengan menawarkan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil, di sini untuk disewa melalui Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak dilaporkan berkata, polis menerima enam laporan berkaitan penipuan terbabit pada 30 Mac lalu.

Beliau dilaporkan berkata, mangsa dijanjikan akan memperoleh tapak dengan bayaran pendahuluan antara RM1,500 sehingga RM2,700 dan hanya menyedari ditipu selepas penganjur bazar mengesahkan program itu tidak diteruskan, selain tidak menerima wang pendahuluan dibayar oleh mangsa.