Pemandu MPV pembuli ada 56 saman dicari

Gombak: Polis sedang mengesan seorang lelaki memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard secara berbahaya di Kilometer (KM) 25.1 hingga KM27.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Genting Sempah, di sini, yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi dua minit 25 saat yang tular di Facebook, hari ini.



“Dalam video berkenaan, MPV itu didapati cuba memotong barisan menggunakan lorong kecemasan dan perbuatan ini berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan lain.

“Malah, pemandu MPV itu juga didapati menghalang laluan kenderaan lain dengan menekan brek secara mengejut dan menyerongkan kenderaannya dengan niat provokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.





Zainal berkata, hasil semakan saman ke atas MPV berkenaan juga mendapati terdapat 56 saman terdahulu direkodkan yang masih belum dijelaskan.

“Terdapat satu laporan polis dibuat dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan. Pemilik rakaman kamera papan pemuka itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk memberi keterangan.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.




“Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas. Sekiranya didapati ingkar, tindakan tegas akan diambil,” katanya.