Kecewa anak mangsa buli di sekolah, Bapa mahu polis siasat

KUALA LUMPUR: Bapa kepada seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya di sini, mahu pihak polis melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian buli yang didakwa berlaku ke atas anaknya, baru-baru ini.

Lelaki berusia 52 tahun itu mendakwa, kejadian buli ke atas anak lelakinya berusia 16 tahun sebenarnya sudah bermula sejak 2019 ketika anak sulungnya itu bersekolah dalam Tingkatan Satu di sekolah itu.

“Pada 2019, dua kali saya ke sekolah untuk membuat aduan dan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah, termasuk guru besar dan guru disiplin berhubung kejadian buli ke atas anak saya.

“Anak saya juga ada memberitahu seorang daripada pembuli turut mengancam mahu menikamnya dengan pisau dan kejadian itu hanya saya ketahui baru-baru ini selepas anak saya membuka mulut mengenai kejadian itu,” katanya kepada BH, hari ini.


Katanya, selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 dan sesi persekolahan bermula semula kejadian buli ke atas anaknya turut berulang.

“Kejadian buli paling kritikal berlaku pada 11 Mei lalu ketika anak saya dalam sesi kelas Pendidikan Jasmani di padang sekolah, kira-kira jam 9.40 pagi.

“Pada mulanya dia dipanggil seorang pelajar yang kemudian menyuruhnya berjumpa dua pelajar di tengah padang kononnya mahu membincangkan sesuatu dan apabila ke tengah padang, anak saya dikepung kira-kira 10 pelajar.

“Seorang daripada mereka menolak anak saya sebelum mukanya ditumbuk seorang pelajar lain,” katanya.

Beliau juga mendakwa, dalam kejadian itu muka anaknya turut ditumbuk beberapa pelajar lagi selain kepala dan beberapa bahagian tubuh dipijak dan ditendang yang mengakibatkan kecederaan luaran dan otot.

“Beberapa guru yang melihat kejadian itu berjaya meleraikan insiden berkenaan dan anak saya diarahkan masuk ke Bilik Pengetua untuk membuat aduan.




“Pengetua kemudian menghubungi dan saya hadir ke sekolah sebelum membawa anak ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya yang membuat laporan polis pada hari kejadian.

Beliau berkata, anaknya seorang yang pendiam dan sukar untuk menceritakan masalah dihadapinya selain takut dengan ugutan pelajar yang membuli serta mengarahkannya tidak membuka mulut.

Dalam pada itu, lelaki berkenaan turut mendakwa pihak sekolah tidak mengambil tindakan sewajarnya ke atas kejadian buli yang berlaku ke atas anaknya sehingga kejadian itu kerap berulang.

“Kejadian buli ini bukan saja berlaku kepada anak saya, malah beberapa pelajar lain dan pelajar yang suka membuli ini didalangi kira-kira 10 orang diketuai beberapa pelajar senior.





“Kumpulan ini dipercayai merekrut pelajar junior untuk menyertai mereka, sebab itu kejadian ini berlarutan hingga anak saya yang kini berada di Tingkatan Empat masih dibuli oleh kumpulan sama,” katanya.

Berikutan kejadian buli itu, lelaki terbabit juga akan memfailkan saman terhadap pengetua sekolah dan guru disiplin kerana didakwa cuai dan tidak menjalankan tugas mengikut prosedur Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, ketika dihubungi BH hari ini mengesahkan menerima laporan kejadian dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kita akan memanggil semua pihak yang terbabit termasuk pihak sekolah, mangsa serta saksi kejadian untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya. – Berita Harian