Curi beg silang pemandu lori di stesen minyak

DUNGUN – Seorang pemandu lori berputih mata kerugian RM6,000 setelah beg silangnya yang disimpannya di dalam lori aiskrimnya dicuri di sebuah stesen minyak di Kuala Abang di sini semalam.



Dalam kejadian pada pukul 5.34 petang itu, mangsa memasuki stesen minyak itu dengan meninggalkan lorinya tanpa berkunci.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati beg silang mengandungi wang tunai termasuk milik syarikat mangsa tersebut telah dicuri oleh seorang lelaki menaiki kereta Perodua Viva.





“Berdasarkan rakaman televisyen tertutup (CCTV), seorang lelaki telah membuka pintu tempat duduk pemandu lori kenderaan sebelum mengambil beg silang terbabit.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Viva berwarna perak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, identiti suspek sedang dikenal pasti dan gerakan memburunya akan dilakukan pada masa terdekat.




Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.