Cari penyakit, sengaja `lekat’ cincin pada kemaluan

Ampang: Sengaja tempah bala apabila seorang lelaki warga Rohingya berdepan kesakitan luar biasa gara-gara tindakannya menyarung cincin besi pada kemaluan.

Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan terpaksa pergi ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang di sini, bagi mencabut cincin berkenaan yang tersangkut pada kemaluannya sekitar jam 9 malam tadi.



Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis memaklumkan, petugas hospital bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah bagi membantu mangsa.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba BBP Pandan Indah kemudian bergegas ke hospital sebelum tiba jam 9.23 malam.





“Setiba di lokasi, kami mendapati cincin itu masih tersangkut pada alat sulit pelarian Rohingya itu.

“Susulan itu anggota bomba segera melakukan operasi memotong dan mengeluarkan cincin logam itu menggunakan peralatan khas dibawa,” katanya.




Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa lebih satu jam bagi menyelesaikan tugasan itu.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.