Anak Delimawati meninggal dunia dalam kereta diklasifikasikan mati mengejut

Kuala Langat: Tiada unsur jenayah ditemukan pada Zulfazli Jaafar, anak lelaki pelakon Delimawati Ismail, yang meninggal dunia dalam kereta di tepi jalan di Bandar Saujana Putra dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



“Jumaat lalu, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat terima makluman pada 4.30 petang mengenai kejadian itu sebelum sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

“Seorang lelaki (anak Delimawati) ditemukan tidak sedarkan diri dalam kereta dan mangsa berusia 45 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isteri mangsa turut berada di lokasi kejadian dan memaklumkan polis, suaminya keluar rumah Rabu lalu sekitar 11.30 malam dan tidak pulang sebelum ditemukan di situ.





“Siasatan awal mengesahkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan mati mengejut, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Semalam media melaporkan, pelakon Delimawati yang popular dengan watak Hantu Kak Limah berkongsi hantaran di Instagram berkenaan kematian anaknya itu.

Delimawati ketika dihubungi berkata, menantunya memaklumkan anak lelakinya itu keluar berjumpa kawan.




“Dia beritahu isterinya nak keluar jumpa kawan, tapi apabila dihubungi dia tak jawab panggilan. Itu yang isterinya keluar cari dan tengok kereta ada di tepi jalan. Apabila isterinya periksa, dia sudah meninggal dunia dalam kereta,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Delimawati tidak memaklumkan punca sebenar kematian anaknya itu, sebaliknya hanya mengatakan anaknya mungkin tidur dalam kereta yang penghawa dingin dihidupkan.