Wang lebih RM400,000 milik isteri Addy Kana, syarikat kini hak kerajaan

KUALA LUMPUR – Wang milik isteri kepada ‘Datuk Addy Kana’, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff berjumlah RM353,723.81 dan wang RM75,846.82 milik syarikatnya, Nine Nine International yang didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram, kini menjadi harta kerajaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan wang itu dilucut hak kepada kerajaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Haslinie Hashim selaku pemohon memaklumkan bahawa Alyaa Syuhaila sebagai responden bersetuju harta tersebut diserahkan kepada kerajaan.



“Pihak responden telah menghantar representasi pada 26 November 2021 dan representasi tersebut telah diterima oleh pihak pemohon (SPRM). Responden bersetuju item-item dalam permohonan (pemohon) dilucut hak.

“Saya mohon agar permohonan pemohon untuk melucut hak wang milik Alyaa Syuhaila berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International dibenarkan,” kata Nik Haslinie.





Peguam Nur Fatin Najwa Ahmad Zainol yang mewakili Alyaa Syuhaila berkata, anak guamnya bersetuju untuk item-item tersebut diserahkan kepada kerajaan.

Pada 29 September tahun lepas, pendakwa raya memfailkan notis usul melucut hak wang milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong berjumlah RM60,232.01 yang disimpan di dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Network Computer.





Turut dipohon lucut hak wang milik Alyaa Syuhaila berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari 2021 didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – Bernama