Video tahun lalu tular, dua lelaki buat aksi ‘wheelie’ ditahan

PASIR GUDANG – Polis berjaya menjejaki dua penunggang motosikal yang melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) di Jalan Kota Masai di sini dalam video tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mereka diberkas pada tengah malam Jumaat selepas pihak polis berjaya menjejaki mereka susulan video yang tular itu.


Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada tahun 2021 di Jalan Kota Masai itu baru diviralkan di Facebook.

“Satu rakaman video berdurasi 19 saat yang menunjukkan aksi berkenaan tular dalam Facebook yang jelas menunjukkan dua lelaki berkenaan menunggang motosikal dengan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.





“Pihak polis juga telah berjaya merampas motosikal yang digunakan pelaku terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa aktiviti samseng jalanan dan pastikan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan kod lalulintas yang telah ditetapkan,” katanya.