[VIDEO] Penyeludup mercun ditahan selepas dua jam dikejar polis

BESUT – Seorang lelaki dipercayai penyeludup mercun berjaya ditahan selepas van dipandunya dikejar polis selama lebih dua jam di Kampung Alor Keladi, Jerteh di sini hari ini.

Suspek berusia 29 tahun telah memecut laju van dipenuhi bekalan mercun dan bunga api merentasi empat daerah termasuk tiga di Kelantan sebelum dapat dipintas pada pukul 11.15 lagi.



Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, van yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan telah dikesan di Pasir Puteh, Kelantan pada pukul 9 pagi.

Suspek enggan berhenti untuk pemeriksaan polis, sebaliknya memecut laju van menghala ke Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan.
“Suspek kemudiannya merentasi Machang, Kelantan sebelum memasuki sempadan daerah ini menerusi Bukit Yong, Pasir Puteh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini.





Abdul Rozak berkata, van dipandu lelaki itu dikejar oleh lima kereta peronda polis (MPV) dari IPD Besut, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Machang sebelum berjaya dipintas di Kampung Alor Keladi.

Tambah beliau, pemandu van yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu berjaya ditahan namun kelindannya telah meloloskan diri daripada kepungan polis.




“Pemeriksaan di dalam van menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM30,000,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.