Suami isteri sesat dalam hutan cari daun palas

Setiu: Suami isteri ditemui dalam keadaan lemah selepas tersesat lebih 12 jam ketika mencari daun palas di Hutan Hulu Kekabu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, Musa Sulaiman, 60, dan isterinya, Tuan Rodiah Tuan Soh, 50, ditemui pasukan mencari dan menyelamat di hutan itu jam 1.50 pagi tadi.



“Mangsa berasal dari Kampung Padang Serai, Guntung Luar memasuki sebuah kawasan kebun kelapa sawit jam 9 pagi semalam.

“Mereka mahu mencari daun palas untuk dijual sebagai sarung ketupat,” katanya dihubungi hari ini.

Afandi berkata, mangsa dipercayai tersesat masuk ke Hutan Hulu Kekabu berhampiran menyebabkan mereka gagal menemui jalan keluar.

“Tuan Rodiah menghubungi ibu tirinya, Azizah Wahab untuk meminta bantuan jam 6.30 petang semalam.




“Usaha mencari dan menyelamat yang bermula jam 8.20 malam berjaya menemui kedua-duanya hampir lima jam kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu Penolong Penguasa Bomba Mohd Razli Rapiae berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan keletihan dan lapar pada jarak lima kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka berdekatan lokasi berkenaan.

“Usaha mengesan mangsa disertai 56 anggota terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), pejabat hutan serta penduduk kampung.





“Difahamkan, mangsa adalah penduduk tempatan yang sudah biasa mencari daun palas di lokasi itu sebelum ini,” katanya.

Dia berkata, namun kali ini, suami isteri itu memberitahu, mereka gagal menjejaki jalan masuk untuk keluar dari hutan terbabit.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan kesihatan. HMetro