Polis siasat kes ‘Mat Salih’ berang ditegur tidak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tular melibatkan seorang lelaki dipercayai bukan warganegara yang tidak memakai pelitup muka selain mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengawal keselamatan yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian dipercayai berlaku di sebuah pasar raya sekitar Jalan Ampang.



“Polis telah mengesan sebuah video berdurasi 18 saat yang dimuat naik pemilik akaun TikTok @Jin_hong.page dan akaun Twitter @Nandopaws hari ini.

“Video berkenaan memaparkan insiden seorang lelaki yang tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat selain menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal bertugas tersebut.




“Polis telah menerima satu laporan berhubung kejadian dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju telah menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihati supaya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).





“Orang ramai yang mempunyai maklumat dalam kejadian ini boleh tampil memberi maklumat atau menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.