Pemandu kereta biar kanak-kanak keluar badan ketika memandu diburu polis

SUBANG JAYA – Polis sedang mengesan pemandu kereta Perodua Viva yang didapati telah membiarkan kanak-kanak mengeluarkan badan dan kepala semasa berada di atas jalan raya di Persiaran Jengka di sini baru-baru ini.

Video insiden itu telah tular di media sosial sehingga mengundang kecaman warga netizen.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan pemandu berkenaan untuk dipanggil bagi membantu siasatan lanjut polis.



“Kita sedang giat mengesan pemandu kereta Viva itu kerana cuai membiarkan kanak-kanak mengeluarkan badan dan kepala semasa kereta bergerak di atas jalan untuk tampil segera dirakam keterangan dan bantu siasatan.

“Hasil semakan teliti polis mendapati kejadian tersebut berlaku di Persiaran Jengka menghala ke Jalan SS18 berdekatan LRT SS18, Subang Jaya, Selangor namun tarikh serta masa kejadian masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abd Khalid, rentetan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat dan pihaknya telah membuka kertas siasatan dan sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri dan orang lain.





Beliau pada masa yang sama menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia.

“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan sebarang maklumat jenayah amat dialu-alukan melalui nombor telefon 03-56210343 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut.

“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tegasnya.




Terdahulu video tular berdurasi sembilan saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Tik Tok memaparkan kanak-kanak itu dibiarkan secara cuai di dalam sebuah kereta dengan mengeluarkan badan dan kepala di tingkap ketika kenderaan itu bergerak di atas jalan raya. – Malaysia Gazette