Padah main brek, budak 10 tahun maut digilis kereta di depan tiga beradik di Baling

SEORANG kanak-kanak perempuan maut apabila digiis kereta ketika cuba menghentikan kenderaan terbabit yang mengundur, selepas dia melepaskan brek tangan ketika bermain dalam kenderaan itu bersama adiknya di rumah mereka di Kampung Keledang, Kuala Ketil, dekat Baling pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa Aisyah Amani Amirrudin, 10, murid Sekolah Kebangsaan Tawar terperosok bawah Proton Wira merah milik keluarga dalam keadaan tubuhnya membongkok ke tanah.


Kejadian menyayat hati itu berlaku di hadapan dua kakak, adik lelaki dan juga bapa saudaranya yang ketika itu bertungkus lumus cuba membantu mengeluarkan mangsa untuk menyelamatkannya.

Namun, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, akibat pendarahan di kepala selain patah tulang tengkorak kerana digilis kereta berkenaan.

Sumber berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik tinggal di rumah terbabit bersama bapa, bapa saudara dan nenek.

Katanya, bapa dan nenek mangsa tiada di rumah manakala ketika itu hanya ada dua kakaknya berusia 15 dan 12 tahun, adik lelaki berusia tujuh serta bapa saudaranya berusia 29 tahun dalam rumah tersebut.

“Mangsa ketika itu sedang bermain bersama adik lelakinya di luar rumah, manakala kakak sulung sedang mengulang kaji pelajaran dan kakak kedua pula sedang tidur di ruang tamu.





“Bapa saudara mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans sebuah syarikat swasta pula sedang bersiap dan baru selesai mandi untuk ke tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, kejadian mangsa terperosok bawah kereta itu hanya disedari dua kakaknya selepas mendengar jeritan adik lelaki dan mereka terus meluru keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Adik bongsu menunjukkan mangsa di bahagian belakang kereta dan melihatkan kejadian itu semua tiga beradik berkenaan menjerit meminta tolong bapa saudara yang berada dalam rumah.

“Bapa saudara yang meluru keluar melihat tiga beradik berkenaan berusaha mengeluarkan mangsa di bahagian belakang bawah kereta sebelum lelaki terbabit menggunakan kudratnya menolak kereta ke hadapan dan berjaya menarik mangsa keluar,” katanya.

Menurutnya, tanpa berlengah, bapa saudaranya terus membawa kanak-kanak itu ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani menggunakan ambulans milik syarikat namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

“Hasil siasatan awal, adik bongsu mereka mendakwa kakaknya itu masuk dalam kereta dan bermain di tempat pemandu sebelum dia menurunkan brek tangan membuatkan kereta berkenaan mengundur.





“Kanak-kanak itu juga mendakwa kakaknya yang panik terus berlari keluar ke belakang kerana mahu menahan kereta daripada terus bergerak sebelum dilanggar dan terperosok bawah kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati tempat parkir kereta itu agak bercerun dan berbukit.

“Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan di belakang leher dan kepala.

“Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. — Harian Metro