Lelaki China dipercayai jadi punca kemalangan empat kenderaan

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga China bukan saja mengakibatkan kemalangan empat kenderaan malah dipercayai cuba memasuki sebuah kereta lain sebelum dia ditahan polis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi di Kilometer 35 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat SJK (C) Imbi di sini, lelaki itu dipercayai melintas jalan sebelum berlaku kemalangan.



Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, Toyota Vios dan dua motosikal masing-masing jenis Yamaha serta Kawasaki.

“Siasatan awal mendapati pemandu Proton Exora iaitu seorang wanita berusia 44 tahun yang memandu di lorong tengah terpaksa membrek secara mengejut kerana mengelak seorang pejalan kaki.

“Pada masa sama, kereta dipandu lelaki berusia 30 tahun yang datang dari arah belakang sempat memberhentikan kenderaannya. Namun tiba-tiba datang penunggang motosikal berusia 26 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta sebelum terbabas melanggar belakang MPV.





“Datang pula sebuah lagi motosikal ditunggang lelaki berusia 50 tahun juga tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal Yamaha di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan itu, beliau berkata, kedua-dua penunggang motosikal cedera dengan seorang daripadanya patah kaki kiri dan mereka dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, untuk rawatan manakala dua pemandu kenderaan tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Sarifudin berkata, satu rakaman video berdurasi 23 saat tular di media sosial menunjukkan lelaki warga China itu cuba berpaut pada pintu belakang Perodua Myvi yang kebetulan melalui kawasan kemalangan.

“Dia kemudian dibawa anggota polis peronda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi tujuan dokumentasi kerana mengadu diancam oleh orang awam semasa berada di lokasi kemalangan,” katanya.





Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.