Jips diarah siasat pegawai polis wanita buat ‘live’ Tik Tok

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) diarah menyiasat mengenai video yang tular di media sosial mengenai siaran langsung oleh seorang pegawai polis wanita yang didakwa dilakukan sewaktu serbuan di sebuah pusat hiburan.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, yang turut mengesahkan pihaknya kini sedang meneliti bila dan di mana siaran langsung itu dilakukan.


“Saya sudah arahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran secara langsung semasa operasi itu.

“Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok itu,” katanya.

Terdahulu, seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.

Video berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.

Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan JIPS hari ini.





“JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya,” katanya.

Pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan untuk menarik perhatian dan mendapat tontonan yang tinggi oleh masyarakat dan netizen.

Dalam perkara sama, tujuan larangan itu dikeluarkan bagi mengelak isu persepsi negatif dan mengundang pelbagai kritikan yang boleh menjatuhkan imej PDRM.

Tabiat atau aktiviti memuat naik video tidak wajar dilakukan pegawai atau anggota polis semasa berpakaian seragam dalam waktu bertugas atau selepas bertugas kerana pakaian berkenaan adalah kebanggaan pasukan dan haruslah digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu Pegawai polis wanita yang tular di media sosial kerana membuat ‘live’ atau rakaman video secara langsung menerusi TikTok semasa operasi di sebuah premis hiburan merupakan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan awal mendapati TikTok pegawai polis berkenaan memang bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikTok miliknya.





“TikTok miliknya mengandungi kandungan dan ucapan promosi (peribadi), saya tidak akan bertolak ansur dan tidak akan memilih bulu sama ada pegawai atau anggota polis yang terlibat.

“Sebarang salah laku melanggar prosedur operasi standard pasti tindakan akan diambil, kalau di Johor bukan setakat berpangkat ASP, Supt dan OCPD (Ketua Polis Daerah) pun saya ambil tindakan tatatertib, tiada tolak ansur,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu memang tidak dibenarkan dan Polis Diraja Malaysia ada mengeluarkan tiga arahan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021.

Ayob Khan berkata, pihaknya kini menunggu tindakan susulan sama ada pegawai terlibat akan ditukar jabatan, dikenakan tindakan tatatertib atau diberi amaran, namun ia bergantung kepada hasil siasatan penuh.