[Video] Pemandu Bentley sodok pengawal, berkeras nak potong barisan

Kemewahan itu satu rahmat, namun tak semua yang berduit sentiasa kenal erti bertolak ansur dan berhati perut. Seorang pemandu lelaki berkereta mewah jenama Bentley telah ditangkap pihak polis Singapura kerana mencetus kekacauan serta mengakibatkan kecederaan terhadap seorang pengawal keselamatan di Red Swastika School, Bedok North.

Insiden dipercayai berlaku pada pagi Selasa (11 Januari) dan rakaman kejadian mula tular di media sosial. Beberapa rakaman video dari orang awam menunjukkan seorang pemandu Bentley Flying Spur memaksa seorang pengawal keselamatan warga emas untuk memberinya laluan masuk melalui pagar sekolah.




Oleh kerana pemandu Bentley berkenaan didapati memotong barisan untuk masuk dari pagar sekolah tersebut, pengawal keselamatan terlibat tidak membenarkannya masuk sebelum menyuruhnya membuat pusingan dan masuk semula ke dalam barisan.

Pemandu berkenaan ternyata tidak berpuas hati dan memaksa pengawal terlibat untuk memberikannya laluan sehingga sanggup ‘menyodok’ pengawal tersebut, seolah-olah mengugut untuk diberi kelepasan. Dia juga menuduh pengawal keselamatan terlibat tidak pandai mengawal aliran trafik.





Insiden ini disaksikan orang ramai, ada diantaranya merakam kejadian tersebut sebelum disebarkan ke media sosial. Seperti biasa, insiden sebegini mengundang kecaman teruk dari netizen.

Tidak ketinggalan juga Menteri Pendidikan Singapura, Chan Chun Sing, yang menganggap tindakan pemandu kereta mewah berkenaan sebagai kelakuan yang “tidak boleh diterima”. – wapcar