[VIDEO] Hakim dirakam bercium dengan banduan

BUENOS AIRES, ARGENTINA – Seorang hakim wanita dituduh mempunyai hubungan intim dengan banduan kes bunuh selepas rakamannya bercium dengan tertuduh tersebar, lapor akhbar Metro UK semalam.

Mariel Suarez, kini sedang disiasat selepas melawat Cristian ‘Mai’ Bustos, yang sedang menjalani hukuman penjara selepas menembak mati seorang anggota polis pada 2009.



Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Institut Penjara Wilayah Trelew, Suarez dilihat sedang duduk rapat di samping banduan yang digambarkan sebagai ‘pembunuh amat berbahaya’ itu.

Beliau merupakan satu-satunya hakim terlibat dalam kes rayuan menentang hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan ke atas Bustos dan merayu agar hukuman tersebut dikurangkan.





Suarez yang mendakwa sedang menulis sebuah buku mengenai Bustos bagaimanapun menegaskan bahawa tiada sebarang ciuman berlaku dan kedua-duanya cuma berbual pada jarak yang amat dekat bagi mengelakkan percakapan itu daripada didengari.

Tambah beliau, tiada sebarang hubungan sentimental berlaku antara mereka berdua, selain mengakui bahawa rayuannya untuk mengurangkan hukuman ke atas Bustos adalah kerana beliau percaya kepada kenyataan lelaki itu ketika perbicaraan.




Sementara itu, beberapa pegawai mahkamah memberitahu, siasatan terhadap ‘kelakuan tidak sopan’ Suarez akan dilakukan selepas video itu didedahkan kepada umum 29 Disember tahun lepas. – AGENSI