[VIDEO] Cuba rempuh, polis tembak tayar kereta

Kota Kinabalu: Tindakan pemandu kereta yang cuba merempuh pihak berkuasa menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephens di sini, hari ini.

Kejadian pada 10.30 pagi itu dipercayai berlaku selepas lelaki bersama dua lagi rakannya dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan cuba mengelak daripada ditahan polis.



Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kereta itu pada mulanya ditahan oleh Unit Kereta Peronda Polis (MPV) di Tanjung Aru di sini, selepas menerima maklumat pasangan suami isteri sedang bergaduh dalam kenderaan berkenaan.

Menurutnya, anggota MPV bertugas kemudiannya mengarahkan semua individu membabitkan empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun itu turun dari kenderaan.

“Seorang lelaki dan wanita mendakwa mereka adalah pasangan suami isteri memberikan MyKad untuk diperiksa.

“Dua lagi individu mendakwa tidak membawa MyKad dan seorang lagi iaitu pemandu kereta memberitahu MyKad miliknya berada di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi hari ini.





Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata, tiga daripada suspek termasuk wanita terbabit bertindak masuk semula ke dalam kenderaan dan terus memecut laju meninggalkan dua rakannya termasuk suami kepada wanita terbabit.

Menurutnya, anggota MPV terus mengejar kenderaan berkenaan namun sebaik sampai di Jalan Tun Fuad Stephens yang sesak, pemandu kenderaan bertindak berpatah balik secara berbahaya dan hampir merempuh anggota polis.

“Keadaan itu menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar untuk memberhentikan kenderaan suspek.

“Suspek akhirnya memberhentikan kenderaan di tengah jalan dan terus melarikan diri bersama dua lagi rakannya meninggalkan kereta terbabit,” katanya.




Mohd Zaidi berkata, suspek wanita akhirnya berjaya ditahan di sebuah bilik penginapan di Sinsuran dan siasatan mendapati MyKad yang dibawa adalah milik orang lain.

Katanya, dua lagi suspek yang dikenali sebagai Ijam iaitu pemandu kereta berkenaan dan rakannya, Ali sedang dikesan pihak polis.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan tiga suspek yang ditahan juga akan dipohon reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.