Tular aksi melarikan diri, polis Kelantan kesan 2 lelaki

PASIR MAS: Polis Kelantan mengesan dua lelaki yang melarikan diri dalam satu pemeriksaan jalan raya di Kampung Gaung, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kedua-dua suspek terbabit sudah dikenal pasti.

“Dalam kejadian sekitar jam 1 tengah hari semalam, polis menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh tiga lelaki. Ketika ditahan, kesemua individu berkenaan memberikan kerjasama.



“Bagaimanapun ketika polis mengarahkan pemandu kereta berkenaan mengalih kereta ke bahu jalan, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut keretanya.

“Seorang daripada dua rakannya yang berada di luar kereta berkenaan turut melarikan diri,” katanya di sini, pada Rabu.

Mohd Nasaruddin mengulas rakaman video seorang anggota polis trafik mengejar seorang lelaki di kampung berkenaan yang menjadi tular sejak Selasa malam.




Katanya, suspek dapat melepaskan diri dengan masuk ke dalam kawasan semak.

Beliau berkata, seorang lagi rakannya yang berusia 37 tahun dapat ditahan polis dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methaphetamine.

Mohd Nasaruddin menjelaskan, salah seorang suspek yang melarikan diri itu mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah.




Dalam pada itu, katanya polis mencari dua individu bagi membantu siasatan kes itu. Mereka adalah Mohamad Afiq Saiedi, 21, dan seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Naim beralamat di Kampung Lelayang Puyu, Tanah Merah.