Suspek bunuh pensyarah Palestin sudah ditangkap di Gaza?

Kuala Lumpur: Suspek pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma, dipercayai sudah ditahan di Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam hantaran terbaharunya di Facebook, pagi ini, mengesahkan penahanan lelaki terbabit.



“Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan.

“Pembunuh terbabit masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit. Perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap. Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di Kuala Lumpur, ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu berhubung dakwaan suspek sudah ditahan.





Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.




Kebanyakan portal berita termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.

Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di sini, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh, pada 21 April 2018.