Penguasa Kanan SPRM didakwa pecah amanah wang RM29 juta

Kuala Lumpur: Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai berjumlah AS$6.94 juta (RM29 juta).

Bagaimanapun Shahrum Nizam Baharuddin, 41, yang kelihatan tenang mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai penjawat awam iaitu Penguasa Kanan SPRM, Gred P44 dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas mata wang AS$6.94 juta melakukan pecah amanah terhadap harta berkenaan.





Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK) Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah jaminan diberikan ke atas tertuduh kerana membabitkan kesalahan serius selain mendapat liputan media





“Sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10 juta dengan tiga penjamin terhadap tertuduh,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin kerana masih bertugas sebagai penjawat awam dan tidak berisiko melarikan diri.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan semula kes.