Pendedah maklumat KP SPRM dapat surat saman RM10 juta

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi, Prof Dr Edmund Terence Gomez mendakwa individu yang mendedahkan maklumat kepentingan perniagaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berdepan tindakan saman RM10 juta.

Beliau yang meletakkan jawatan sebagai ahli panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bulan lalu selepas mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM, berkata individu berkenaan menerima surat tuntutan (LOD) daripada peguam Azam, hari ini.

Katanya, dalam LOD itu, individu berkenaan dituntut memohon maaf atas laporan ditulisnya, membuat permohonan maaf terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta.

“Saya amat terkejut, pemberi maklumat ini yang membangkitkan persoalan sah berkepentingan negara, kini disaman oleh Azam.



“Apa yang Azam sepatutnya lakukan ialah mendedahkan semua kepentingan perniagaannya secara terbuka demi menjaga imej dan integriti SPRM,” katanya dalam satu kenyataan.

Azam dalam laporan sebuah media hari ini memaklumkan akan mengeluarkan saman ke atas mereka yang telah mencemarkan reputasinya dan SPRM.

Katanya, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan dakwaan yang tidak berasas itu tidak berulang.

“Just wait (tunggu)… saman akan dibuat ke atas orang itu,” katanya ringkas.

Mengulas lanjut, Edmund menggesa Azam supaya menarik balik LOD berkenaan serta-merta dan menghentikan cubaannya untuk menjadikan pendedah maklumat sebagai mangsa.

“Dengan menghantar surat tuntutan ini kepada pemberi maklumat, apa yang berlaku kini tidak lebih daripada ugutan serius oleh Azam.





“Jika pemberi maklumat diancam dengan cara ini oleh mereka yang berkuasa iaitu trend yang sudah lama kita lihat di Malaysia, bagaimana kita boleh mendorong rakyat mendedahkan rasuah dan melindungi mereka kerana berbuat demikian,” tegasnya.

Edmund dalam pada itu menggesa Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang untuk bersama-sama bertindak memulakan semakan segera terhadap fungsi SPRM.

“Perdana Menteri juga mesti bertindak segera untuk mewujudkan panel bebas untuk mengkaji dakwaan kepentingan perniagaan Azam,” katanya.

Semalam, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada sidang akhbar khas, berkata pihaknya mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.





Katanya, LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham-saham pada 2015.

Abu Zahar berkata, pembelian saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham berkenaan pada 2015 dan saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.