Pemandu van dicari, tohmah polis tak puas hati disaman

Kuala Selangor: Polis menyiasat kes seorang pemandu van yang membuat tohmahan ke atas anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) selepas disaman kerana melanggar lampu isyarat di daerah ini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mengesan tohmahan itu selepas ia tular di laman sosial pada 9.20 malam kelmarin.


Katanya, ia memaparkan gambar dan mesej dengan kenyataan tidak berpuas hati terhadap seorang anggota BSPT Kuala Selangor.

“Anggota terbabit mengeluarkan saman ke atas seorang pemandu van kerana melanggar lampu isyarat merah pada 6.20 petang, 7 Januari lalu (Jumaat).

“Van komersial itu ditahan menerusi pemeriksaan yang dijalankan di Kilometer 24 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu van itu memuat naik gambar berserta tohmahan kepada anggota polis yang mengeluarkan saman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.




Terdahulu, tular posting seorang pemandu van yang menyatakan dirinya tidak bersalah selepas disaman kerana melanggar lampu isyarat.

Berdasarkan posting tersebut, pemandu itu telah menunjukkan lesen memandu yang sah kepada salah seorang pegawai polis dan tiada sebarang kesalahan lain.

Apabila ditanyakan kesalahannya, pegawai polis berkenaan datang memeriksa van dan kesemuanya dalam keadaan baik namun telah melanggar lampu isyarat.





Pemandu van tersebut menegaskan tidak perlu menghulur duit poket bagi kegiatan pegawai polis itu sambil meletakkan nama pegawai berkenaan dan nombor siri badannya.

“Apabila saya tidak ingin membuat ‘settlement’, pegawai tersebut hanya menjawab selepas ini bincang di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan,” jelasnya pada posting tersebut.