Nabila akui malu jatuh tersandung di hadapan penonton

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Nabila Razali, 29, mengaku memang dia berasa sangat malu apabila jatuh terjelepok di hadapan penonton ketika menjayakan persembahan ambang 2022 di Menara Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Nabila dihubungi berkata meskipun sangat malu dengan insiden spontan yang berlaku tanpa diduga itu, namun dia tetap gembira dapat menghiburkan semua penonton yang hadir dalam acara tertutup berkenaan.





“Memang saya sangat-sangat malu selain rasa sakit akibat terjatuh itu. Tapi, alhamdulillah walaupun saya jatuh tersadung namun tanggungjawab menyanyi digalas dapat diselesaikan hingga akhir dan penonton amat terhibur.

“Bagaimanapun, saya juga tak pasti kenapa sampai boleh tersadung kaki semasa berjalan menuju ke pentas ketika itu. Cuma, tak dinafikan kasut yang saya pakai agak tinggi tumitnya dan selalu juga dipakai sebelum ini. Tapi, memang dah nak jadi cerita tersadung pula depan orang ramai,” katanya.

Nabila yang popular dengan lagu Cemburu, Peluang Kedua dan terbaharu, Putus berkata biarpun dia sangat malu, tetapi pada masa sama tetap positif. Katanya, sekurang-kurangnya dia dapat membuat persembahan menghiburkan.

Mengulas juga kecederaan dialami, Nabila berkata dia bernasib baik hanya cedera ringan iaitu terseliuh kaki sedikit saja. Tapi, katanya yang penting persembahan untuk penonton dapat diselesaikan hingga habis.

Berbicara juga mengenai pencapaian diraihnya sepanjang 2021 dan harapan 2022, Nabila berkata banyak perkara berharga sudah dicapai tahun lalu dan bagi tahun baharu ini pula, dia mengharapkan perkara yang baik-baik saja.




“Untuk 2022 ini, harapan saya semoga kita semua dikurniakan memori yang manis-manis saja serta perkara baik-baik. Semoga yang penting virus Omicron Covid-19 ini dapat dilenyapkan dan kita semua hidup sihat,” katanya.

Terdahulu, Nabila berkongsi rakaman video berdurasi 15 saat di Instagram yang memaparkan situasi dia jatuh terjelepok ketika berjalan menuju ke pentas dengan diiringi muzik lagu Pematah Hati nyanyiannya.

Dengan kapsyen mencuit hati ditulis, ‘alamak…cane ek cumi-cumi jatuh lah plak’ cukup menarik perhatian netizen yang bersimpati dan tidak kurang ketawa geli hati menyaksikan insiden Nabila jatuh terjelepok itu.

Sehingga kini, perkongsian video oleh Nabila itu sudah mencatat hampir sejuta tontonan, manakala mendapat lebih 3,000 komen wargamaya dan rakan selebtiti yang rata-rata bersimpati dan berasa terhibur. – HMetro