Maut dibaham harimau, mayat ngeri ditemui

Kuala Lumpur: Seorang lelaki Anek Along, 59 maut selepas diserang seekor harimau belang jantan di belakang rumahnya.

Malah mangsa dikatakan sempat diseret haiwan liar itu sebelum mayatnya ditemui pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Perkara itu dimaklumkan salah seorang penduduk berhampiran Kampung Orang Asli Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan tadi.

Dia yang enggan namanya didedahkan memaklumkan harimau jantan itu sudah mula mengganggu penduduk sejak malam semalam.

“Penduduk kampung itu diserang ketika keluar mencari ikan untuk menyambut pesta padi malam semalam. Kami dikejar haiwan buas itu namun berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Namun pagi tadi salah seorang penduduk kampung berusia 59 tahun diserang harimau ketika membuang air kecil di belakang rumahnya sekitar jam 9 pagi.

“Anak perempuan mangsa yang sedang menumbuk padi mengesyaki sesuatu berlaku terhadap ayahnya selepas terdengar bunyi anjing menyalak kuat.



“Penduduk kampung ini kemudian pergi memeriksa di belakang rumah mangsa sebelum menemui kesan darah.

“Tidak lama kemudian penduduk terserempak sekali lagi harimau itu. Harimau itu cuba menerkam namun sempat dibaling dengan lembing hingga mengenai matanya,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian pasukan Perhilitan tiba dan mengarahkan semua penduduk berkurung sementara di dalam rumah.

“Apa yang saya tahu mereka cuba menjejaki harimau belang itu. Harimau belang seberat lebih 100 kilogram itu berjaya ditemui mereka tengah hari tadi di hutan berhampiran.

“Namun pihak Perhilitan terpaksa melepaskan tembakan selepas harimau itu cuba menyerang mereka. Harimau itu berjaya dibunuh dan dibawa keluar dari hutan.





“Dalam masa sama mayat Anek (mangsa) berjaya ditemui di dalam hutan. Dia dipercayai diseret harimau itu,” katanya.

Sementara itu polis mengesahkan Orang Asli yang maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai, di sini, dikenali sebagai Anek Along, 59.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 1.30 tengah hari.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dilaporkan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah mereka kira-kira jam 9.10 pagi.

“Bagaimanapun, ketika sedang menumbuk padi huma, anak perempuan mangsa mendapati ayahnya sudah tiada dan dia cuba memanggil bapanya itu sebanyak beberapa kali sebelum mencari di belakang rumah.

“Anak mangsa kemudian menemukan kesan darah pada daun-daun pokok dan segera memanggil orang kampung untuk mencari bapanya,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.




Sik berkata, berdasarkan kesan darah itu, penduduk kampung berjumpa dengan harimau terbabit sebelum membaling lembing ke arah haiwan berkenaan.

“Harimau berkenaan lari dan orang kampung bergegas melaporkan perkara itu kepada pihak Perhilitan yang berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai.

“Pihak kami tiba di tempat kejadian pada 5.40 petang dan mayat mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan pasukan untuk dihantar ke Hospital Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, seramai 12 kakitangannya yang sedang berada di Kampung Tendrik, Pos Bihai bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian itu.

“Semua penduduk diarahkan berada di dalam rumah masing-masing demi keselamatan mereka. Pada 12.15 tengah hari, kakitangan kami terserempak dengan harimau belang yang berada berhampiran dengan mangsa dan terpaksa melepaskan tembakan kerana harimau belang itu meluru ke arah mereka,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan luaran ke atas harimau belang jantan yang dianggarkan berusia tiga tahun dengan berat 120 kilogram (kg) itu tidak mempunyai sebarang kesan jerat dan hanya mengalami luka di bahagian muka dipercayai akibat luka terkena lembing penduduk kampung ketika terserempak dengan haiwan itu.