Lelaki rebah semasa main badminton

TAIPING – Seorang lelaki meninggal dunia setelah rebah ketika bermain badminton di Dewan Badminton Kawasaki, Jalan Pokok Asam,Taman Raja Idris di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 8.50 malam dan sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa yang lengkap berpakaian sukan terbaring di gelanggang.





Menurutnya, pemeriksaan pada mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Temubual dengan rakan-rakannya memaklumkan mangsa, Lim Thian Meng, 47, sedang bermain badminton secara regu dan dia kelihatan cergas.




“Bagaimana pun, semasa tunduk untuk mengambil bulu tangkis mangsa terus rebah serta tidak sedarkan diri menyebabkan rakannya bertindak menghubungi pihak Hospital Taiping.

“Pemeriksaan petugas kesihatan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan rekod, mangsa ada mengidap penyakit darah tinggi dan mendapatkan rawatan di Hospital Taiping manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE.