Lelaki ditahan rakam gambar seluar dalam wanita

BAYAN LEPAS: Padah merakam gambar seluar dalam wanita menggunakan telefon bimbit di sebuah pasar raya terkenal di Pulau Pinang, seorang lelaki ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal memaklumkan, terdahulu lelaki berusia 20-an itu ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis.




“Suspek ditahan kerana merakam gambar seluar dalam wanita di dalam pasar raya berkenaan menggunakan telefon bimbitnya. Perbuatan tidak senonoh dan aib berkenaan disedari orang awam yang bertindak menahannya dan menyerahkan kepada polis.

“Polis merampas sebuah telefon, bank kuasa dan beg kain berwarna hitam milik suspek untuk siasatan lanjut.




“Hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, bagaimanapun dia direman selama dua hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.