KTMB mohon maaf, pemandu digantung tugas

KOTA BHARU: Pengendali kereta api yang tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Kuala Krai pagi ini sekali gus mengakibatkan kira-kira 100 pelajar terkandas dan gagal memulakan hari pertama sesi persekolahan, telah digantung tugas.

Menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), berdasarkan siasatan, tren Shuttle Timuran No. 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada pukul 4.05 pagi disahkan tidak berhenti sebagaimana dijadualkan di Hentian Kuala Gris pada pukul 7.08 pagi.





Sehubungan itu, katanya, KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa serta pihak sekolah, selain menjamin tindakan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa depan.

“KTMB memandang serius dan berasa kesal dengan kejadian, lebih-lebih ia lagi melibatkan 100 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan hari ini.





“Siasatan sedang dijalankan dan kakitangan yang terlibat dengan insiden tersebut telah digantung tugas. Tindakan disiplin akan diambil jika berlaku kecuaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 100 pelajar dari Kampung Kuala Gris terkandas di Hentian Kuala Gris pagi ini apabila kereta api yang menjadi pengangkutan utama mereka ke SMK Dabong, kira-kira 14 kilometer dari situ tidak berhenti seperti biasa.