Kadar gangguan seksual terhadap jururawat wanita tinggi

Kota Bharu: Gangguan seksual dan keganasan terhadap kakitangan hospital terutamanya jururawat wanita boleh menjadi sangat rumit serta menjadi risiko pekerjaan dalam profesion perubatan dan kesihatan.

Timbalan Pengarah Operasi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Mohd Imran Yusof berkata, bidang kejururawatan mendedahkan mereka secara fizikal dan emosi kepada pesakit dan kakitangan yang lain, namun jururawat wanita mempunyai kadar gangguan seksual yang paling tinggi dalam profesion berkenaan.



Katanya, berdasarkan laporan satu perempat kakitangan hospital di seluruh dunia melaporkan pendedahan kepada gangguan seksual semasa mereka bekerja dan berdasarkan satu kajian yang dijalankan di luar negara menunjukkan bahawa kadar peratusan gangguan seksual terhadap kakitangan hospital wanita ialah antara 10 hingga 85 peratus.

“Gangguan seksual boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk tingkah laku lisan atau bukan lisan, visual mahupun fizikal berdasarkan jantina seseorang.

“Penggunaan teknologi multimedia seperti emel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau imej yang mempunyai elemen lucah, ugutan atau menyinggung perasaan juga semakin kerap berlaku kerana ia amat mudah dilakukan dan sangat berkesan untuk mengganggu mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.





Mengulas lanjut, Dr Mohd Imran berkata, meskipun gangguan seksual dan keganasan yang semakin meningkat itu dianggap sebagai isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang serius, namun sebahagian besarnya tidak dilaporkan oleh mangsa kepada pihak pengurusan atau pihak keselamatan.

“Kemungkinan besar, mereka berasa malu untuk melaporkannya atau menganggap gangguan ini sebagai gurauan biasa dan sebahagian daripada risiko pekerjaan.

“Bagaimanapun, ada juga dalam kakitangan hospital yang beranggapan tidak perlu melaporkan hal itu kerana tiada tindakan yang boleh diambil ke atas pemangsa oleh pihak berwajib selain perasaan takut akibat unsur ugutan atau terdapat isu keselamatan yang lain,” katanya.

Katanya, gangguan seksual ialah kelakuan yang tidak diingini dan menyinggung perasaan yang boleh menyebabkan mangsa berasa tidak selesa, takut atau terhina.

“Pada peringkat awal ia mungkin menunjukkan tingkah laku yang kurang serius, namun berkemungkinan adalah langkah pertama untuk pemangsa mengambil tindakan selanjutnya yang lebih serius dan bersifat seksual ke atas mangsa sekiranya tindakan yang betul tidak diambil oleh mangsa.





“Gangguan fizikal contohnya dalam bentuk menyentuh, memegang atau memeluk mangsa, gangguan lisan pula termasuk komen atau jenaka, ajakan atau jemputan yang tidak sesuai, soalan yang sensitif atau tidak sesuai mengenai kehidupan peribadi seseorang atau komen yang berbau seksual terhadap penampilan fizikal seseorang.

“Manakala bagi gangguan seksual secara bentuk bukan lisan pula merujuk kepada tingkah laku yang menakutkan seperti merenung atau memandang dalam bentuk yang mengganggu, menunjukkan imej atau bahan yang tidak senonoh, memberikan sesuatu hadiah yang berbaur seksual, pendedahan fizikal yang tidak senonoh dan banyak lagi,” katanya.