Jururawat kerugian RM350,000 ditipu Macau Scam

ALOR SETAR: Seorang jururawat wanita kerugian RM350,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa tidak membayar cukai pendapatan berjumlah RM55,800.82.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 53 tahun yang menetap di Pokok Sena itu dihubungi seorang individu yang mengaku daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan pembayaran selama 15 bulan.


“Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu dan memberitahu dia tidak pernah membuka akaun syarikat perniagaan (SSM) dengan nama syarikat AR Maju Trading yang didaftar di Kelantan.

“Namun, individu terbabit kemudian meminta mangsa untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk menafikan mangsa tidak terbabit dengan kes berkenaan.




“Mangsa yang panik membuat panggilan itu dan disambung dengan ‘Datuk Nurul Huda Saleh’ dari IPK Kelantan yang kemudian meminta nombor Mykad mangsa untuk membuat pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau berkata, individu itu kemudian meminta mangsa memberi nombor kad ATM serta nombor akaun Tabung Haji dan akaun Bank Islam milik mangsa.




“Mangsa menyedari ditipu selepas mangsa pergi ke Bank Islam cawangan Alor Setar untuk mengeluarkan wang dan terkejut apabila membuat semakan baki mendapati wang simpanannya berkurangan,” katanya.

Semakan yang dilakukan mangsa mendapati wang sebanyak RM350,000 telah lesap.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena, pada 18 Januari.

Beliau berkata, berikutan itu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.