JKNJ siasat video, gambar tular majlis libat penjawat awam klinik kesihatan

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa gambar dan video tular di media sosial hari ini yang memaparkan sekumpulan individu didakwa penjawat awam di sebuah klinik kesihatan di negeri ini melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam satu majlis.

Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti individu yang terlibat dan tindakan akan diambil terhadap mereka.





“JKNJ mengambil maklum tentang sebaran viral (tular) di media sosial berkaitan Majlis Jasamu Dikenang yang melibatkan penjawat awam di klinik kesihatan terbabit.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti mereka yang terbabit khususnya yang terlibat dalam pelanggaran SOP Majlis Keselamatan Negara. Susulan itu, tindakan akan diambil ke atas mereka yang terlibat,” kata Dr Aman menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook JKNJ pada Jumaat.





Terdahulu, tular beberapa gambar dan video di media sosial memaparkan sekumpulan individu dipercayai penjawat awam daripada sebuah klinik kesihatan di negeri ini didakwa telah melanggar SOP dalam satu majlis, sehingga mengundang komen negatif di media sosial berkenaan. – Bernama