Hanya dengar suara mangsa menjerit

Seorang lelaki warga emas bersama cucu perempuan dikhuatiri hilang ketika keluar mencari asam paya di hutan berdekatan Kampung Binyok, Jalan Tanjung Bako, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa Aidil Junit, 71, dan cucunya Nurul Suhada, 12, keluar dari rumah dan masuk ke dalam hutan jam 12 tengah hari namun sehingga kini tidak pulang ke rumah.





Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu kira-kira jam 7.13 malam sebelum menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.

“Cucunya dapat dihubungi petugas Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Sarawak dan kita memintanya menghantar lokasi melalui WhatApps namun gagal kerana dipercayai bateri telefon bimbitnya habis.

“Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bersama orang kampung,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.





Katanya, sekumpulan anggota Bomba Kota Samarahan yang terdiri dari 14 anggota dan orang kampung memasuki hutan ke lokasi dan berpecah kepada dua arah dianggarkan sejauh dua kilometer.

“Pasukan SAR memaklumkan mendengar suara mangsa menjerit, namun kedudukan mangsa masih belum dapat dijumpai. Sehingga kini pasukan penyelamat masih berusaha menjejaki kawasan mangsa berada,” katanya.

Katanya, Pasukan Khas Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian.