Hampir dua hari hilang tetapi terasa hanya tertidur sejam

Gua Musang: Remaja yang hilang selepas membuang air kecil di kawasan semak di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Isnin lalu, hanya merasakan dirinya tertidur selama sejam sedangkan kehilangannya itu sudah 30 jam.

Bapa saudara mangsa, Azizul Rahman Hamzah, 46, berkata, dia dimaklumkan bahawa anak saudaranya yang berusia 13 tahun itu mula tidak sedar sebaik berada di kawasan semak.




Katanya, anak saudaranya memaklumkan hanya melihat keadaan di sekeliling sangat gelap, namun dapat merasai kedua-dua kakinya sedang berjalan menuruni cerun.

“Apabila sedar pada keesokan harinya, dia menyedari berada di dalam semak dan membuka telefon bimbit untuk melihat WhatsApp dalam keadaan mengantuk, sebelum tertidur semula kerana kepenatan.

“Namun ketika tersedar kali kedua, dia menyedari sudah jauh berada di dalam semak dan berasa kebingungan bagaimana boleh berjalan sejauh itu.





“Dia kemudiannya terus bangun berjalan menuju pulang ke rumahnya dalam keadaan kebingungan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, remaja lelaki itu ditemui jam 5.30 petang oleh penduduk kampung dalam keadaan bingung dan keletihan pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian dilaporkan hilang.

Azizul Rahman bersyukur anak saudaranya ditemui dalam keadaan selamat selepas hampir dua hari dilaporkan hilang.

“Alhamdulillah ketika anak saudara sedang berjalan balik ke rumah, ada penduduk kampung kebetulan melalui kawasan berkenaan dan membawa anak saudara saya pulang ke rumah,” katanya.