Dipenjara secara salah selama 37 tahun

Philadelphia: Seorang lelaki di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) yang disabitkan kesalahan membunuh dibebaskan selepas 37 tahun meringkuk dalam penjara.

Daily Star melaporkan Willie Stokes, 61, dibebaskan selepas didapati ada detektif menawarkan seks dan dadah kepada saksi utama untuk memalsukan keterangan mereka.



Willie Stokes meninggalkan penjara negeri di Philadelphia pada Selasa selepas Mahkamah Persekutuan, bulan lalu dimaklumkan bahawa saksi utama, Franklin Lee berbohong ketika memberi kenyataan di mahkamah.

Saksi itu berbohong selepas ditawarkan melakukan seks dengan teman wanita dan dadah di ibu pejabat polis pada 1983 sebagai balasan memberi keterangan palsu.

Lee didapati bersalah melakukan keterangan palsu selepas Stokes dimasukkan ke penjara pada 1984, tetapi Stokes yang disabitkan dengan kesalahan itu tidak dimaklumkan mengenainya sehingga 2015.

“Ini hari luar biasa. Kami semua sangat berterima kasih. Bagaimanapun, ia juga hari paling menyedihkan, kerana ia mengingatkan kita betapa tidak adilnya penguatkuasaan undang-undang Philadelphia untuk sekian lama,” kata peguam bela Stokes, Michael Diamondstein.




Dilaporkan, Stokes hanya tahu mengenai keputusan itu, pada Selasa, setengah jam sebelum dia dibebaskan.

Stokes berkata, ia sangat menantikan pelukan daripada ibunya.

Ibunya terlalu gementar untuk datang menyambutnya.

Media melaporkan dua detektif yang bersubahat dengan Lee dalam perjanjian yang didakwa dilakukan pada 1983 itu sudah meninggal dunia.




Lee yang berada dalam tahanan atas tuduhan berasingan merogol dan membunuh pada masa perjanjian itu memberitahu Mahkamah Persekutuan pada November bahawa dia tidak berdaya menolak ‘tawaran’ itu.

Dia yang bekerja selepas selesai menjalani hukuman kerana melakukan jenayah rogol, pembunuhan dan memberi keterangan palsu, dua tahun lalu memohon maaf di mahkamah pada November.

Peguam Daerah Philadelphia Larry Krasner membuat keputusan sama ada membawa semula kes Stokes dalam perbicaraan pada 26 Januari.