Denden Gonjales vokalis baharu Search

Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia Denden Gonjales, 38, yang pernah menjadi tumpuan dunia berikutan aksinya di ‘blind audition’ program The Voice Bulgaria, dipilih sebagai vokalis baharu kumpulan Search dalam projek kolaborasi antara dua negara.

Denden yang bukan asing lagi kerana pernah bekerjasama dengan penyanyi popular negara itu seperti Inka Christie dan Judika membuat juri program terbabit terpukau ketika menyanyikan lagu She’s Gone nyanyian asal Steelheart.

Pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib berkata, kemampuan Denden menyanyikan lagu bernada tinggi amat sesuai dengan genre muzik Search.





“Search memilih Denden kerana suaranya dan dia boleh menyanyikan lagu bernada tinggi dan amat sesuai dengan Search.

“Dengan usia yang masih muda iaitu 38 tahun kami yakin dia boleh membawakan lagu-lagu Search dengan baik. Usia yang cukup sesuai untuk kemuncak prestasi,” katanya pada sidang media Pengumuman Penyanyi Baru Search & Pembukaan Search Rock Station di Kompleks Campbell di sini, hari ini.

Selain Noordin dan Kid sebagai pemain gitar serta Denden sebagai penyanyi, Search juga mengumumkan pemuzik berpengalaman luas iaitu Yan sebagai pemain bass mereka.

“Perancangan kami ialah tahun depan mengadakan konsert. Mungkin juga kami akan merakamkan semula lagu-lagu lama,” katanya.





Search juga mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram. Sebelum ini Pae adalah pemain dram undangan bagi menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika beliau mula mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Search juga mengorak langkah dengan membuka kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada 31 Disember 2021.

“Search Rock Station adalah kedai yang menjual barangan cenderahati rasmi Search seperti t-shirt, kasut, topi dan macam-macam lagi,” kata Noordin.