BAM gantung Lee Zii Jia 2 tahun

PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan utama negara Lee Zii Jia dilarang menyertai pertandingan antarabangsa selama dua tahun sebagai hukuman atas tindakannya keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Timbalan Presiden BAM Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan Zii Jia dilarang bermain dalam mana-mana pertandingan yang diiktiraf oleh Persekutuan Badminton Dunia.


Lagi menurut Dato’ Sri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Timbalan Presiden 2 BAM, mereka tidak menggantung tetapi tidak mendaftar Lee Zii Jia di sebarang kejohanan.

Sebelum ini, BAM pernah mengenakan penalti berbentuk sekatan kepada Tan Chun Seang daripada bertanding di Asia selama dua tahun pada 2011 apabila beliau keluar daripada badan kebangsaan itu.

Norza berkata, pihak BAM telah melakukan segala-galanya untuk mengekalkan Zii Jia namun ia terbukti sia-sia.





“BAM bukan institusi statik. Kami cuba (mendengar Zii Jia) memahami keadaannya tanpa prejudis malah (membuat) tawaran balas untuk memastikan dia kekal kerana dia pemain No. 1 kami,” kata Norza.

“Sebagai presiden, saya sangat kecewa kerana kami berusaha keras untuk mencari pengganti yang layak selepas Datuk Lee Chong Wei.

“Semua orang, termasuk pihak berkepentingan kami turut serta untuk memastikan ada aliran tunai bagi menjayakan perkara ini.





“Ia sama seperti adik-beradik yang menyumbang untuk membantu membiayai pengajian adik-beradik lain. Mereka semua melakukan ini dengan harapan bahawa individu tersebut akan menyumbang kembali kepada keluarga suatu hari nanti.

“Tetapi kemudian datang hari apabila dia beritahu bahawa dia mahu mengikut caranya sendiri. Jadi apa yang boleh kami lakukan?

“Saya beri analogi ini kerana jika pemain masih mempunyai aspirasi untuk merealisasikan impiannya, maka kami (BAM) akan bekerja keras demi kepentingan negara,” kata Norza.