Animasi Upin & Ipin bukan ‘idea’ dari Indonesia

PETALING JAYA – Dakwaan watak animasi popular, Upin & Ipin terbitan syarikat Les Copaque Production Sdn. Bhd. berdasarkan kisah sebenar di sebuah kampung di Indonesia adalah tidak benar.

Mendedahkan perkara itu, Les’ Copaque menerusi laman Twitternya memaklumkan, semua cerita Upin & Ipin adalah rekaan semata-mata dan ditulis sepenuhnya oleh Les’ Copaque Production (LCP).



Menurut syarikat itu, ia tidak diambil atau diinspirasi dari kisah sesiapa yang masih hidup mahupun yang telah tiada.

Selain itu kata Les Copaque, idea asal cerita Upin & Ipin adalah dari Hajah Ainon yang juga pelakon suara Opah.

“Setiap cerita yang ditulis bukan sahaja mudah difahami tetapi juga sarat dengan mesej yang bermanfaat,” ujarnya.




Mengulas lanjut, Les Copaque berkata, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Mohd. Radzi pula adalah pelakon suara Tok Dalang.

Beliau juga turut berkongsi pengalaman beliau dibesarkan di kampung di dalam siri Upin & Ipin.

Pada masa sama, Les Copaque turut menjawab persoalan kenapa watak Upin & Ipin tiada ibu dan ayah dan watak kedua-dua animasi itu botak.

“Ketika Upin & Ipin Musim 1 disiarkan di TV9, ia merupakan projek sampingan saja. Oleh kerana kesuntukan masa dan kekurangan tenaga kerja, tiada watak baru dihasilkan dan LCP memilih untuk menjadikan Upin dan Ipin anak yatim piatu.

“Begitu juga ketika Upin & Ipin Musim 1 dihasilkan, pihak LCP terpaksa memendekkan kos dan mempercepatkan proses pembuatan.




“Nak buat rambut (hair simulation) ketika itu terlalu memakan masa. Maka, Upin dan Ipin direka botak tetapi Upin ada sehelai rambut,” jelasnya.

Menurut Les Copaque lagi, bagi mengetahui kisah dan sejarah tentang penubuhan LCP boleh dapatkan buku yang ditulis sendiri oleh Haji Burhanuddin yang akan berada di pasaran pada bulan Mac nanti.

Semalam, Kosmo! melaporkan, satu video di laman TikTok dari Indonesia mengejutkan netizen apabila ia memaparkan rakaman dua kubur kecil yang tertulis nama watak kartun terkenal Malaysia, Upin dan Ipin.

Menurut laporan Suara.com semalam, video yang dimuat naik di akaun TikTok @ABI_ALONK_3110 itu menunjukkan Upin Ipin meninggal dunia pada tahun 1995 dan 1996.-K! ONLINE