Polis buru dua beranak tetak empat sekeluarga

BELURAN: Polis memburu seorang bapa dan anak lelakinya yang dipercayai terbabit dalam kejadian tetak empat sekeluarga di sebuah ladang di Kampung Cahaya Baru di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, suspek berusia 51 dan 23 tahun, melarikan diri selepas kejadian itu yang menyebabkan mangsa berusia 18 hingga 47 tahun parah.



Katanya, kejadian berkenaan berlaku pada jam 5.30 pagi Selasa lalu.

“Sebelum kejadian, isteri mangsa dipercayai menegur seorang ahli keluarga suspek bagi menuntut hutang yang kemudian menyebabkan pertengkaran.

“Suspek yang berusia 23 tahun marah lalu bertindak menyerang isteri mangsa dengan sebilah parang sebelum dihalang oleh mangsa.

“Kemudian, suspek itu menetak tangan mangsa. Pergaduhan berkenaan dileraikan penyelia ladang yang kemudian membawa mangsa ke pejabat untuk mengelakkan keadaan tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.





Kasim berkata, suspek itu kemudian pulang ke rumahnya sebelum datang kembali bersama bapanya lalu bertindak menyerang keluarga mangsa.

“Dua beranak berkenaan dilaporkan menetak tiga ahli keluarga mangsa. Sejurus kejadian, kedua-dua suspek melarikan diri.

“Empat mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.




Katanya, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.

“Oleh itu, polis memohon kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan agar menyalurkannya kepada balai polis berhampiran.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.