Lelaki hilang ketika mencari lembu ditemukan selamat

Pengkalan Hulu: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari lembu peliharaannya di kawasan kebun getah berhampiran rumahnya di Kampung Air Panas, di sini, semalam, ditemukan selamat hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu, Syahirul Anuar Abdul Azam berkata, mangsa berusia 42 tahun ditemukan dalam tempoh 30 minit selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan.


Katanya, pencarian yang turut dibantu orang awam bermula pada 5 petang, dan mangsa ditemui pada 5.30 petang.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan, namun sedikit keletihan kira-kira 1.5 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan hilang.





“Kami dimaklumkan mangsa hilang sejak lewat semalam ketika mencari haiwan ternakan bersama abangnya, namun mangsa tidak pulang semula sehingga hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi pencarian digerakkan selepas mendapat maklumat daripada Balai Polis Air Panas susulan laporan yang dibuat abang mangsa.





“Ketika ini, kami belum mengetahui sebab mangsa tidak pulang ke rumah semalam.

“Kalau dikatakan mangsa sesat, nampak seperti dia sudah biasa dengan keadaan tempat itu,” katanya.

Syahirul Anuar berkata, walaupun tidak mengalami kecederaan, mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.