Hujan lebat punca tanah runtuh di Simpang Pulai – JKR

IPOH: Kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang menyebabkan dua mangsa terbunuh semalam, dikenal pasti berpunca daripada keadaan hujan yang berterusan.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali, berkata pihaknya mengenalpasti punca itu berdasarkan alat pengesan kadar jumlah hujan yang direkodkan.

“Kadar hujan agak tinggi sebanyak 217 mililiter sepanjang tempoh dua minggu dan keadaannya berterusan sehingga mengakibatkan kelemahan pada tebing jalan hingga terjadi runtuhan tanah.



“Kita mendapati ia adalah runtuhan besar membabitkan lebih 10,000 meter padu tanah,” katanya pada pemberita ketika meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Hamdan berkata, susulan itu bagi tindakan jangka pendek ketika ini pihaknya akan melakukan kerja pembersihan pada tanah.

“Oleh kerana jumlah tanah yang besar, kita akan membuat pembersihan selama satu minggu, memantau kestabilan cerun secara berterusan untuk mengenalpasti tindakan jangka masa panjang seterusnya.

“Setakat ini kita masih dalam kajian proses pembaikan untuk jangka masa panjang,” katanya.





Beliau berkata, runtuh cerun itu adalah yang pertama berlaku di kawasan berkenaan dan di luar jangkaan.

“Susulan kejadian ini, sebahagian cerun di sini tidak stabil, jadi kita masih lagi di dalam kajian keadaan cerun ketika ini. Panjang cerun yang terjejas adalah kira-kira 100 meter,” katanya.

Beliau berkata, laluan berkenaan dijangka akan dibuka pada 9 Disember sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.





Menurutnya, pusat pemantauan cerun yang ditempatkan di antara Seksyen 38 hingga 48 bagi memantau cerun pada tiga lokasi mendapati keadaan stabil.

“Setakat ini, pemantauan yang dijalankan dilokasi lain bersama pihak konsesi mendapati terdapat runtuhan kecil di dua lokasi tapi tidak kritikal dan laluan masih boleh dilalui,”katanya.

Semalam, media melaporkan dua lelaki disahkan meninggal dunia selepas kenderaan masing-masing tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley.