‘Hujan ikan’ landa bandar di Texas

TEXARKANA, TEXAS – Cuaca buruk dan hujan di bandar Texarkana, Texas, kelmarin, telah menyebabkan satu fenomena luar biasa iaitu ‘hujan ikan’ di bandar yang bersempadan dengan Arkansas itu, lapor stesen penyiaran Khou semalam.

Beberapa foto dan klip video yang dimuat naik di media sosial oleh penduduk sekitar menunjukkan ikan-ikan jatuh dari langit ketika hujan.





Biarpun kejadian itu berlaku dalam masa yang singkat, banyak ikan terdampar di halaman rumah dan kawasan tempat letak kereta perniagaan di bandar itu.

Menurut sebuah badan bukan kerajaan, National Geographic Society, fenomena ‘hujan haiwan’ berlaku apabila haiwan kecil seperti ikan, katak dan ketam terperangkap dalam aliran air naik atau puting beliung di kawasan perairan.





Haiwan-haiwan itu kemudiannya terjatuh di lokasi yang jauh bersama-sama dengan air hujan.

Bagaimanapun, seorang pakar kaji cuaca dari Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, tiada laporan mengenai kejadian puting beliung di kawasan perairan berhampiran dikesan dalam radar semalam.

“Ini adalah satu masalah besar,” kata seorang ahli meteorologi. – AGENSI