73 pelajar dan guru Sekolah Seri Puteri positif Covid-19

Kuala Lumpur: Jumlah pelajar dan guru Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang disahkan positif Covid-19 setakat ini seramai 73 orang.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang positif itu adalah dua guru dan 71 pelajar.



“Seramai 451 individu sudah disaring iaitu 437 pelajar, 13 guru dan seorang petugas. Semua guru dan pelajar lengkap vaksinasi kecuali empat individu yang belum lengkap vaksinasi.

“Seramai 65 pelajar yang dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang adalah pesakit kategori satu dan dua serta dilaporkan stabil,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.





Selain itu, Khairy berkata, seramai 242 kontak rapat dikuarantin di asrama sekolah berkenaan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau keadaan kesihatan pesakit dan memberi rawatan yang terbaik.





Malam tadi dilaporkan, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengesahkan 65 pelajar SBP Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya positif Covid-19 dan dihantar ke PKRC Maeps Serdang.

Beliau yang hadir memantau situasi di sekolah itu berkata, pada mulanya seorang guru dijangkiti Covid-19, malah saringan kontak rapat kemudian mendapati terdapat seorang lagi guru dan enam pelajar positif Covid-19.