[VIDEO] Geng marshal konvoi buat onar lagi

SATU rakaman video pengiring (marshal) daripada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi menghentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat dipercayai berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan tular sejak Sabtu mendapat pelbagai reaksi orang ramai terutama di media sosial.

Bagi Merak Jalanan, tindakan menahan kenderaan atas alasan mahu memastikan kumpulan konvoi mereka tidak terhalang di persimpangan lampu isyarat bukan sahaja mementingkan diri sendiri dan menafikan hak pengguna lain, malah ia juga mengundang bahaya.



Terbaharu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa individu yang bertindak sebagai marshal bagi menghentikan kenderaan di laluan lampu hijau dan membenarkan kumpulan berkenaan meneruskan perjalanan sewaktu lampu isyarat merah.

Beliau berkata, pergerakan motosikal berkuasa besar itu dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke bulatan Sunggala, Telok Kemang.





Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebenarnya, Merak Jalanan juga pernah berdepan situasi seperti ini sewaktu dalam perjalanan ke Putrajaya untuk satu tugasan. Geng marshal kumpulan motosikal berkuasa tinggi telah menahan kenderaan di susur masuk lebuh raya utama dan hampir menyebabkan berlaku kemalangan.

Sepatutnya setiap individu yang ingin menjadi marshal perlu menyertai kursus yang dijalankan supaya asas mengawal pergerakan kenderaan dalam kumpulan di jalan raya dapat dipelajari dan dipraktikkan.





Pada pendapat Merak Jalanan, jangan sesekali menyusahkan pengguna jalan raya lain yang akhirnya menyusahkan diri sendiri kerana ada peraturan dan undang-undang wajib dipatuhi.